Tenom – Membesar di Kampung Baru Jumpa

“Hidup dulu, rasanya tidak susah berbanding sekarang. Tidak banyak yang membuat hati kami susah walaupun tidak kaya. Dulu, kalau duit sedikit pun boleh hidup. Sendiri pergi cari ubi manis yang banyak tumbuh di tepi sungai, bawa pulang ke rumah, bakar dan makan.

Saya masih ingat lagi masa kami masih terlanjang-lanjang pergi mandi di sungai. Sepanjang hari kami di sungai, kami tidak bosan. Masa itu, ibu bapa kami baru saja buka kampung ini. Kami berkaki ayam dan berkudis-kudis pergi ke sekolah minggu sebab di kampung, tiada ubat. Kereta pun ada satu sahaja, iaitu Land Cruiser pendek. Sesiapa yang mahu turun ke Tenom akan masuk dalam kereta itu. Kalau tidak muat, mereka akan berdiri di atas kereta itu. Jalan keluar masuk masa itu langsung tidak dijaga dan masih berduri.

Masa itu juga, kami tidak kenal miskin kaya sebab banyak sumber makanan kami di sini. Kalau bapa-bapa rajin, pergi ke hutan, dapat babi hutan. Kalau kami rajin, turun ke sungai, ada ikan. Memang tidak susah sebab ada banyak ikan dalam sungai. Kami pasang sahaja bubu panjang yang diperbuat daripada buluh di dalam sungai kecil di belakang rumah. Pagi esok, bubu itu pasti penuh dengan ikan. Waktu itu, kami belum ada peti sejuk jadi kami buat ikan salai. Kami akan rebus ikan itu, kemudian kami cincang hancur-hancur halus-halus, taruh garam dan salai lagi. Kami simpan untuk sebulan sehingga menjadi ikan masin yang kami makan dengan nasi dan sayur.

Setahu saya, mama-mama kami tidak pernah beli beras dari kedai. Tuaian satu musim cukup untuk dimakan tahun depan. Musim menuai, kami pun ikut tuai padi sambil menyanyi. Mama rajin menyanyi sambil menuai supaya tidak terasa panas matahari. Jadinya, keluarga kami pun terikut-ikut menyanyi. Semua boleh menyanyi.

Juwita dan Gina dengan aunty Garid di Kampung Baru Jumpa

Mama juga rajin goreng mi yang dibungkus dengan daun pisang atau daun tapai untuk saya jual. Mama jual mi pada masa itu sebab kiranya sangat-sangat miskin. Tapi saya tidak rasa miskin. Awal-awal pagi, saya akan pungut telur itik yang boleh dilihat putih-putih walaupun matahari belum terbit. Mama akan rebus telur itu untuk saya jual di sekolah. Terasa seronok juga apabila dapat membeli buku dengan duit jualan itu. Jadi saya pergi petik buah kopi untuk dijual pula. Jual dua-tiga put (cedok baldi), dapat beli kasut! Sejak itulah tertanam minat jual-beli saya – sehingga memiliki satu-satunya kedai di kampung ini sekarang.

Itulah sebab saya suka hidup di kampung. Waktu di Labuan, saya tidak ada kerja. Duduk saja. Di kampung, banyak yang kita boleh buat. Hidup di kampung memang seronok.” – Garid bte Yubai, penduduk Kampung Baru Jumpa

#MySongsAndStories
#GoTenom
#LoveMalaysia

Related Posts

%d bloggers like this: