Pahang Specialty: Sambal Hitam

Setiap daerah mempunyai makanan tradisi yang tersendiri. Ketika kami mengumpul cerita di sekitar Kuala Lipis dan Jerantut, suatu pembuka selera yang terkenal di kalangan orang tempatan di situ diperkenalkan – iaitu Sambal Hitam. Ramuan utama untuk penghasilan Sambal Hitam adalah Belimbing Buluh yang boleh didapati dengan mudah di Pahang.

Dengar cerita, pada zaman dahulu ketika belum wujudnya peti sejuk, belimbing buluh yang dipetik akan direbus bersama garam sehingga berwarna perang sebelum diawet dalam bekas menjadi perkasam supaya tahan lama dan mudah dimasak. Perkasam belimbing ini kemudiannya ditumis dengan ikan bilis, cili padi, bawang merah, bawang putih dan kicap manis untuk menghasilkan Sambal Hitam.

Usah diperdaya oleh warnanya yang kelihatan hitam seperti arang, sambal ini membuka selera dengan rasanya yang pedas masam dan sedikit manis – sesuai sekali dimakan bersama nasi, pulut dan lempeng. Keistimewaan sambal ini mengundang sesiapa yang melawat negeri Pahang untuk membeli sebungkus dua untuk dibuat bekal. Jadi ingat, apabila kamu melawat Pahang, singgah sebentar di pasar tempatan di situ. Pasti ada yang menjual Sambal Hitam kebanggaan orang Pahang.

#MySongsAndStories #LoveMalaysia 📷Photo by: Dr Richard Chan