Inspirational Malaysian: Vivian Voluptuous

“Waktu kecil, saya ingin sangat menjadi seorang pramugari. Saya ingin melawat tempat baru, belajar benda baru. Namun melihat mak bertungkus-lumus menjual kuih dan nasi kuning untuk menampung kami sekeluarga, impian ditepikan dahulu. Sebagai anak sulung, kebajikan adik-adik sering saya dahulukan – macam mana mereka nak bersekolah kalau tak cukup makan? Walaupun baru mencecah 14 tahun, saya memilih untuk berhenti sekolah dan memasuki alam pekerjaan untuk membantu menampung keluarga. Tetapi sifat ingin belajar dan berjaya tidak pernah pudar. Walaupun tidak melanjutkan pelajaran secara formal, saya bertekad untuk mengelilingi diri dengan kenalan yang pandai dan persekitaran yang maju.

Dengan niat untuk memberi keluarga kehidupan yang lebih selesa, saya keluar dari kampung di Sandakan dan alhamdulillah, mendapat kerja di sebuah butik di KLCC. Setiap hari yang dilalui dan setiap pelanggan yang ditemui adalah suatu pelajaran – mereka menjadi guru saya, mengajar saya tentang kehidupan.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Saya turut melibatkan diri dalam dunia ‘plus size’ dan merangkul gelaran ‘Malaysia Jumbo Queen 2015’. Sejak itu, saya berpeluang menjadi ‘plus size’ model dan pernah memperaga di pentas peragaan Mercedes Benz Stylo Fashion Week 2015 dan Mis Claire. Kejayaan ini memberi semangat kepada saya untuk berjuang bersama wanita berbadan besar untuk membina keyakinan diri.
Secara tidak langsung, angan-angan menjadi kenyataan. Impian untuk melawat tempat baru dan belajar benda baru tercapai. Percayalah, tiada yang mustahil dalam dunia. Biarpun susah dan penuh dugaan, apabila kita gigih mencapainya, kejayaan itu pasti kesampaian.” – Vivian Voluptuous, Malaysia Jumbo Queen 2015

Musliani Muslimin, lebih dikenali sebagai Vivian Voluptuous, masih bekerja di sebuah butik tempatan di KL. Sambil itu, beliau menyediakan perkhidmatan sewa baju plus size: Vivian Voluptuous Collection.

#MySongsAndStories #LoveMalaysia 📷Photo by: Olivia Oon