Inspirational Malaysian: Helbarth Bin Jemlit

“Saya mula menceburi bidang sukan ragbi pada tahun 2001 semasa di sekolah menengah. Perjalanan kaki dari rumah ke padang sekolah sejauh 4km di mana saya kerap menjalani latihan ragbi. Selesai latihan lewat petang, saya jalan pulang. Sampai di rumah, malam sudah gelap. Waktu dulu untuk dapatkan sebiji bola ragbi atau sepasang kasut bola amat susah. Kerana itu juga saya mencintai sukan ragbi sampai hari ini.

Saya telah merasai pahit maung dari mula hingga sekarang untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Ragbi telah merubah 90% daripada kehidupan saya. Ia adalah suatu sukan yang mengutamakan disiplin, kerjasama sepasukan dan aturan strategi untuk menjaringkan gol. Kita bersusah dulu untuk mencapai matlamat kemudian.

Prinsip ini saya praktikkan dalam kerjaya saya. Bermula dari kerja sampingan di ladang kelapa sawit sambil bermain ragbi, saya dinaikpangkat menjadi eksekutif pembantu pertanian dan seterusnya penolong pengurus. Untuk generasi akan datang, teruskan usaha untuk mencapai peringkat yang tertinggi. Yang penting, sentiasa rendah diri dan berdisiplin. Kalau bulih disiplin, pasti boleh pergi jauh.” – Helbarth Bin Jemlit, pemain ragbi.

Helbarth Bin Jemlit berasal dari daerah Kuala Penyu dan membesar di Sipitang, Sabah. Beliau merupakan pemain kelab ragbi Borneo Eagles dan Sabah Rugby Union (SRU), pernah mewakili negara dan masih giat dalam pertandingan ragbi tempatan dan antarabangsa.

#MySongsAndStories #LoveMalaysia 📷Photo by: Olivia Oon