Inspirational Malaysian: Fazleena Hishamuddin

“Kehidupan saya sewaktu kecil suram. Saya sering mengunci diri di dalam bilik sewaktu tetamu atau keluarga datang berkunjung dan memilih untuk menyendiri. Mungkin saya rasa rendah diri terhadap fizikal yang dimiliki dan merasa diri tidak bijak seperti rakan-rakan lain. Ini berlanjutan sehingga saya berada di sekolah menengah. Kesedaran hadir bila saya cuba memberanikan diri untuk terlibat dalam aktiviti seni dan kebudayaan di sekolah dan universiti. Perlahan-lahan keyakinan diri muncul. Melalui seni saya belajar untuk menghargai diri sendiri dengan cara menerokai potensi diri.

Walaupun tidak mendalami bidang seni secara teori dan praktik di Universiti, saya percaya seni boleh dipelajari di mana-mana. Minat dan kesungguhan akan membawa seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi. Saya tidak menghadkan kebolehan saya pada satu-satu bidang. Saya mencuba mendalami teater, menulis skrip dan buku, mengarah filem pendek, bekerja dan berlakon di belakang tabir produksi drama, filem dan pentas, menguruskan acara, menjadi emcee dan hos program, menubuhkan kugiran lagu-lagu puisi dan berbagai lagi kerja seni yang lain. Bakat adalah anugerah yang diberikan Tuhan untuk kita kongsikan. Saya selalu pastikan agar setiap pekerjaan yang saya lakukan penuh dengan kesungguhan dan memberi manfaat pada masyarakat dan persekitaran.

Ibu saya selalu berpesan, ‘Wanita harus mempunyai ilmu. Jangan berhenti belajar. Hanya ilmu akan menyelamatkan kita di waktu susah nanti.’ Kerana itu saya mahu terus belajar dan mendalami dunia seni yang amat saya cintai. Saya percaya seni adalah cahaya yang akan terus menghidupkan jiwa saya. Seni ibarat cinta buat saya. Apalah erti cinta tanpa komitmen, kesungguhan dan tidak mudah berputus asa dengannya. Tidak semua keterlibatan saya dalam bidang ini berakhir dengan baik dan sempurna, ada masanya saya gagal dan jatuh, namun ia tidak pernah menyekat langkah saya untuk terus berdiri dan berlari. Kerana saya percaya cinta akan selalu menyelamatkan.” – Fazleena Hishamuddin, aktivis seni

Fazleena Hishamuddin seorang pengiat aktif seni yang berpengalaman dalam pelbagai arena termasuk lakonan, arahan filem, teater, penulisan dan deklamasi puisi. Bersama kawan-kawannya, Fazleena & The Lasykar aktif berlagu puisi di pentas seni seluruh negara.

#MySongsAndStories #LoveMalaysia 📷Photo by: Cuyaa