Inspirational Malaysian: Dato’ Siti Nurhaliza

“Tidak ramai yang kenal Kuala Lipis ketika saya membesar di situ. Sebagai anak seorang anggota polis, kehidupan keluarga kami amat sederhana. Ibu bekerja sambilan di kantin berek polis di samping menjual kuih dibantu oleh kami 7 beradik. Seawal usia 10 tahun, kami mulai membantu ibu membuat dan menjual kuih. Setiap pagi saya bangun pukul 5 untuk menghantar kuih ke kantin dan membuka gerai di seberang jalan. Saya turut membawa raga berisi kuih dan berjalan kaki sejauh 2km ke pekan untuk berjual di situ. Walaupun penat, tetapi keluarga kami berusaha bersama-sama dengan suka cita.

Di samping itu, keluarga kami aktif terlibat dalam muzik dan kesenian. Ibu bapa dan saudara mara memang gemar bermain muzik dan menyanyi. Saya turut menyertai mereka dalam kumpulan muzik bapa saudara saya dan menyanyi di majlis perkahwinan, kebudayaan dan jemputan lain di sekitar Pahang. Penyertaan saya dalam pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (RTM) pada 1995 mengubah segala-galanya apabila saya menjadi juara dan kemudiannya artis rakaman Suria Records. Saya juga telah menubuhkan syarikat sendiri. Sejak itu, kerjaya saya sebagai seorang penyanyi, artis dan usahawan mula berkembang maju di Malaysia dan arena antarabangsa.

Saya bersyukur dengan kejayaan yang dicapai hari ini kerana bidang seni telah memberikan saya dan keluarga saya kehidupan yang lebih baik. Inilah cara saya membalas jasa ibu bapa yang telah mendidik dan membesarkan kami selama ini. Kesusahan masa lampau membuatkan saya tidak lupa asal usul saya. Saya yakin untuk berjaya seseorang itu harus bekerja keras dan sentiasa berani mencuba sesuatu yang baru.” – Dato’ Siti Nurhaliza, artis & usahawan

#MySongsAndStories #LoveMalaysia 📷Photo by: SNP (M) Sdn Bhd